PERUTUSAN PRESIDEN

PERUTUSAN PRESIDEN

 

Bismillahirrahmanirrahim,

Ahli-ahli BUMITRA MALAYSIA yang dirahmati Allah sekalian. Syukur kita ke hadrat Allah S.W.T di atas limpah kurnianya yang memberikan kita panjang umur, kesihatan yang baik, keupayaan menongkat arus pandemik COVID-19 yang masih aktif dan kemampuan bertahan dalam kaedah serba kekurangan di atas muka bumi yang fana ini. Semoga ujian ini berlalu pergi secepat mungkin dan kita semua kembali aktif dalam suasana NORMA BAHARU.

Kehadiran para perwakilan dan pemerhati dialu-alukan bagi menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan BUMITRA MALAYSIA kali ke-39 tahun ini.

Menerajui BUMITRA MALAYSIA dalam tempoh pandemik menuju ke Endemik banyak mengajar kami barisan EXCO berfikir, bertindak mencari penyelesaian bagi masalah yang dialami ahli-ahli sekalian.

Pelbagai usaha telah dilakukan yang telah membuahkan hasil walaupun tak seperti mana yang dihajati oleh ahli-ahli. Namun demikian BUMITRA MALAYSIA memahami kemampuan kerajaan yang terhad dan bersyukur dengan bantuan yang telah diberikan.

Di kesempatan ini BUMITRA MALAYSIA mengucapkan berbanyak terima kasih kepada MOTAC yang mengambil berat tentang rintihan pemain industri dan mengangkat sokongan ke peringkat lebih tinggi bagi mendapatkan pembelaan.

Adalah menjadi harapan BUMITRA MALAYSIA supaya semua ahli melibatkan diri dalam program dan libat urus yang dianjurkan bersama Agensi kerajaan serta pihak swasta dalam meneroka ruang dan peluang yang disediakan yang boleh direbut demi untuk memulihkan syarikat masing-masing.

Terima kasih kepada Timbalan Presiden, Setiausaha Agung Kehormat, Bendahari Agung Kehormat, dan seluruh barisan EXCO yang telah memberikan komitmen berterusan dalam menjayakan segala aktiviti yang diaturkan demi untuk kepentingan ahli-ahli. Kepada ahli-ahli sekalian yang telah memberi sumbangan idea dan masa serta sokongan dalam menjayakan program yang dianjurkan dalam memperkasakan BUMITRA MALAYSIA amat di hargai. Akhir kata marilah kita bersama-sama mendoakan agar tahun 2022 menjadi pembuka tirai kearah kemakmuran, kesejahteraan dan pemerkasaan ahli-ahli sekalian. Semoga BUMITRA MALAYSIA aktif membantu ahli-ahli dan terus mekar dipersada Industri Pelancongan Negara.

Selamat bersidang kepada para perwakilan yang hadir di Mesyuarat Agung Tahunan BUMITRA MALAYSIA kali ke-39. Semoga kita dapat bersidang di dalam NORMA BAHARU dan setiap cadangan serta usul yang diberikan akan diperhalusi bersama-sama.

Wabillahi tawfik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Sekian, Terima Kasih.

Yang benar,

BUMITRA MALAYSIA

HJ. HARUN KC AHMMU

Presiden Sesi 2022-2024